Ahad, 5 April 2009

HUKUM MUZIK DAN HIBURAN DALAM ISLAM


Hiburan
Maksud hiburan ialah sesuatu (perbuatan, benda dll) untuk menghiburkan
(menyenangkan, mententeramkan) hati. (Kamus Dewan).

Nyanyian
Maksud nyanyian ialah gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. (Kamus Dewan).

Muzik
Maksud muzik ialah gubahan bunyi untuk memperoleh keindahan bentuk dan pernyataan perasaan. (Kamus Dewan).

Tarian
Maksud tarian ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut rentak muzik. (Kamus Dewan).


MUZIK DAN HIBURAN
Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: “Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Idul Fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273). Keharusan ini adalah menggunakan prinsip “ al-aslu fi al-asyai al-ibahah “ (asal segala sesuatu adalah harus) selagi mana tiada nas yang jelas mengharamkannya.
Dan dari Aisyah r.a. sesungguhnya Abu bakar pernah masuk kepadanya, sedang di sampingnya ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (Idul Adha), sedang Nabi s.a.w. menutup wajahnya dengan pakaiannya, maka diusirlah dua gadis itu oleh Abu bakar. Lantas Nabi membuka wajahnya dan berkata kepada Abu bakar Biarkanlah mereka itu hai Abu bakar, sebab hari ini adalah hari raya (hari bersenang-senang)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

PANDANGAN ULAMA
Para ulama berbeza pendapat dalam hal ini :
Golongan Pertama : Golongan ini melarang sama sekali nyanyian baik diiringi dengan alat muzik atau tidak. Bagi mereka hukumnya adalah sama sahaja iaitu haram. Bahkan boleh meningkat kepada dosa besar. Pendapat ini dipegang oleh sesetengah ulama Mazhab Hanafi dan juga Hanbali.
Golongan Kedua : Golongan ini melarang nyanyian yang diiringi dengan alat muzik dan mengharuskannya jika tidak diiringi dengan alat muzik. Di kalangan golongan ini ada juga yang membolehkan setiap nyanyian baik diiringi dengan alat muzik ataupun tidak. Bahkan mereka berpendapat nyanyian itu adalah sunat.
Golongan Ketiga : Golongan ini mengharuskan nyanyian asal sahaja tidak mengandungi perkara mungkar dan seni kata yang tidak elok. Pandangan ini dipegang oleh sesetengah ulama Mazhab Hanafi, Hanbali, dan juga Imam Syafie. Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna.


HUJAH DIBOLEHKAN (HARUS) HIBURAN :
Sabda Nabi kepada orang-orang Habasyah: keranamu aku melihat hai Bani Arfidah, adalah suatu perintah dan anjuran untuk bermain. Oleh kerana itu bagaimana mungkin permainan itu diharamkannya?
Dilarangnya Abu Bakar dan Umar dengan alasan, bahawa hari itu adalah hari raya dan hari gembira, sedang bernyanyi adalah salah satu daripada jalan untuk bergembira
Berdirinya Nabi yang begitu lama sambil menyaksikan dan mendengarkan nyanyian yang disukai Aisyah.
Perkataan Nabi kepada Aisyah yang didahului dengan kalimat bertanya: senangkah kamu untuk melihat?
Dan dari beberapa sahabat dan tabi'in diriwayatkan, bahawa mereka itu pernah mendengarkan nyanyian, sedang mereka tidak menganggapnya suatu perbuatan dosa.
Di antara yang sudah disepakati, bahawa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat berat iaitu sebagaimana sabda baginda:"Sungguh akan ada beberapa golongan dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah). Cuma perlu diingat sifat salafussoleh atau sahabat ialah bersederhana dalam perkara2 mubah. jadi, dengar muzik harus, cuma jangan berlebih-lebihan.




GARIS PANDUAN MUZIK DAN HIBURAN
Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.
Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.
Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
Tidak melalaikan manusia dari melaksanakan kewajipan agama.
Majlis itu tidak disertai minuman haram dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, atau mempunyai unsur-unsur perjudian (pertaruhan) serta pembaziran.

FATWA SEMASA
- Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat. Selain itu, ada pula yang haram. Nyanyian yang haram adalah disebabkan oleh lima perkara iaitu yang berkaitan dengan penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata atau lirik, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar itu sendiri. Pendapat ini boleh dikiaskan kepada hiburan secara umumnya.
- Fatwa yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Qardawi dalam Fatawa Mu’asirat. Beliau berkata, “Setelah kami mengkaji dan pertimbangkan kesemua pendapat, dengan penuh keyakinan kami memfatwakan bahawa nyanyian itu sendiri hukumnya adalah halal kerana berbalik kepada (kaedah syarak) yang menegaskan kesemua perkara (duniawi) pada asalnya adalah halal kecuali terdapat nas-nas yang sahih yang mengatakan ia adalah haram... Hadis-hadis yang digunakan oleh mereka yang mengharamkannya dipenuhi dengan pelbagai kelemahan”.
- Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Sheikh Al-Azhar (dalam al-Fatawa, Darul Syuruq, Kaherah, 1960), berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu samada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Hukum Wanita Menyanyi

Suara wanita

Pendapat Pertama
Pendapat yang tidak membenarkan sama sekali – sama ada boleh menimbulkan syahwat atau tidak. Antara pelopor kepada pandangan ini ialah Ibnu Qayyim al-Jawziah[i], Abu al-Tayyib dan Dr Wahbah al-Zuhayli[ii].

Pendapat KeduaPendapat yang membenarkan dengan syarat tidak berlaku fitnah dan syahwat. Di antara yang berpandangan denikian ialah Imam al-Ghazali, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan sebagainya.
Hujah suara wanita bukan aurat

Ummul mu’minat isteri-isteri Rasulullah sendiri adalah sebagai perawi hadis,tentunya mereka berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.Jika suara mereka dikira aurat,maka sudah tentu mereka tidak berani bersuara.

Agama Islam membolehkan kaum wanita berkomunikasi dan bermuamalat dengan sesiapa sahaja samaada dengan kaum lelaki atau wanita

Agama Islam menerima kaum wanita menjadi saksi dalam perbicaraan.

Rasulullah SAW mengizinkan dua hamba wanita bernyanyi di rumahnya
Pernah pula Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah (HR. Tirmidzi, dinilainya sahih. Imam Asy-Syaukani, Nailul Authar,

Pendapat ulama’
Pandangan Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan di mana mereka berdua menyatakan harus wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka menjaga adab-adab iaitu menutup aurat dan tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah.Hujah mereka ialah Nabi saw pernah membiarkan hamba wanita menyanyi sedangkan pada masa itu Abu Bakar r.a menegur Aisyah dengan berkata, suara syaitan apa ini?




Suara wanita yang boleh menyebabkan haram
1. Wanita bersuara manja, merayu, mendesah, dan yang dapat menimbulkan hasrat syahwat kaum lelaki, seperti keinginan berbuat zina, dan sebagainya. Firman Allah SWT (artinya) : “…maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (QS Al-Ahzab [33] : 32).
2. Seseorang penyanyi wanita itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan pendengar seperti menyanyikan lagu-lagu bersifat lucah, menyeru kepada cinta yang menganjurkan pergaulan bebas tanpa batas di antara lelaki dengan perempuan
3. Keadaan si penyanyi yang tidak menutup aurat
4. Menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah